Thursday, 6 August 2015

Tuntutan Fasakh

Menurut Syarak, Fasakh adalah pembatalan perkahwinan yang sah disebabkan oleh alasan-alasan yang dibenarkan oleh Syarak. Contohnya; suaminya gila (berkekalan atau sekejap); penyakit kusta; penyakit sopak; penyakit yang menghalang mereka daripada melakukan persetubuhan; suami tidak mampu memberi nafkah belanja kepada isterinya, suami yang menzalimi dan memudaratkan isterinya; suami yang fasik serta melakukan maksiat terhadap Allah dan tidak menunaikan kewajipan kepada Allah; dan murtad salah seorang (suami atau isteri) dan sebagainya.

Kesan Fasakh

Walaupun Fasakh adalah pembatalan perkahwinan namun ia berbeza dengan perceraian biasa kerana kesan perceraian secara Fasakh menyebabkan suami tidak boleh merujuk isteri sewaktu tempoh iddah dan hanya boleh kembali bersama sebagai suami dan isteri melalui akad nikah yang baru. Bilangan talak yang dimiliki oleh suami juga tidak akan berkurangan sekiranya perceraian secara Fasakh berlaku. Sungguhpun begitu si isteri masih lagi berhak terhadap nafkah semasa dalam tempoh beriddah dan si isteri boleh untuk menuntut mutaah daripada pihak suami selagi mana alasan pembubaran perkahwinan secara fasakh itu bukanlah puncanya dari si isteri.

Di Mahkamah Syariah peruntukkan Fasakh ada dinyatakan di dalam Seksyen 52 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Sungguhpun begitu, alasan-alasan yang kukuh perlu dikemukakan untuk menyokong tuntutan Fasakh dan segala pembuktian hendaklah disertakan bersama-sama borang tuntutan seperti laporan kesihatan doktor dan sebagainya. Umumnya, peruntukkan Fasakh ini dilihat sebagai jalan kedua kepada pihak isteri dalam mendapatkan hak mereka untuk membatalkan perkahwinan bagi mengelakkan sebarang kemudaratan terhadap dirinya di dalam rumahtangga seandainya tiada persetujuan perceraian diperolehi daripada pihak suami.

Walaupun demikian, sekiranya Hakim berpandangan bahawa perkahwinan itu boleh diselamatkan dan bukti yang dibawa adalah tidak mencukupi, maka hakim mempunyai budi bicara untuk tidak membubarkan perkahwinan tersebut.



1 comment: